Kelab Diskusi Ilmiah

Hukuman tidak bertamadun

Posted by admin on January 2, 2007

GAMBARAN awal yang tersebar di seluruh dunia melalui media Barat mengenai kematian Saddam Hussein ialah kegembiraan yang melonjak-lonjak di kalangan beberapa kumpulan rakyat Iraq di dalam dan di luar negara tersebut.

Seterusnya, secara beransur-ansur dan hati-hati, kita disuakan dengan kesedihan dan rasa kesal sesetengah pihak lain.

Reaksi yang berbeza dari pelbagai pihak ini menolak dakwaan yang menyatakan terhapusnya Saddam Hussein akan menyelesaikan masalah di Iraq.

Sebaliknya, seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan keganasan di Iraq, sekali gus melenyapkan peluang perdamaian dan mengembalikan keamanan di negara itu.

Bekas Presiden Iraq yang digulingkan oleh tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada bulan Disember 2003 telah menjalani hukuman gantung pada 30 Disember 2006 di awal pagi waktu Iraq.

Hari tersebut merupakan hari pertama Aidiladha, satu hari perayaan yang besar lagi mulia bagi umat Islam. Kematian Saddam disifatkan oleh penentangnya dan yang menyokong kehadiran ASdi Iraq sebagai satu “keadilan” yang wajar yang telah terlaksana. Ekoran dari itu muncul pelbagai reaksi; ada yang menari kegirangan, berpesta di jalan-jalan raya di Britain dan Amerika Syarikat seperti yang tersiar melalui CNN dan BBC.

Namun ada juga orang-orang yang melahirkan rasa kesal, sedih dan terkilan kerana hukuman yang dijalankan tidak kena pada masanya. Beberapa kerajaan dunia dan badan-badan antarabangsa yang menyuarakan penentangan terhadap hukuman itu mempunyai sebab yang berbeza.

Beberapa pihak, termasuklah Amnesty International, berpendapat hukuman gantung di Hari Raya itu sebagai tidak sensitif kepada perasaan umat Islam dan Arab. Rata-rata menyimpulkan bahawa penghapusan Saddam tidak akan mengurangkan keganasan yang melanda negara itu sejak penggulingan bekas Presiden tersebut.

Masyarakat antarabangsa secara umumnya tidak pernah mencapai satu konsensus mengenai Saddam dan pemerintahannya di Iraq. Ada yang menganggap Saddam sebagai hero Arab yang berani menentang AS dan mampu mengekalkan kemerdekaan Iraq dan mengelak negara itu daripada huru-hara.

Penentang-penentangnya pula menganggap beliau sebagai seorang diktator yang menindas beberapa golongan tertentu, seperti puak Syiah dan Kurdis yang mendapat sokongan pihak luar.

Bagi golongan ini, Saddam melambangkan sebuah kerajaan yang didominasikan oleh golongan Sunni yang dianggap tidak berlaku adil kepada golongan lain.

Tidak hairanlah apabila kerajaan Saddam digulingkan, maka kerajaan baru Iraq yang dimonopoli oleh Syiah mengetepikan golongan Sunni yang berkuasa semasa Saddam. Ini meruncingkan hubungan dua komuniti tersebut di Iraq. Bagi Iran, kejatuhan Saddam diibaratkan sebagai pucuk dicita ulam mendatang.

Semasa Saddam, Iran dan Iraq terlibat dalam peperangan di tahun 1980-an yang banyak merugikan mereka.

Merapatkan

Berakhirnya pemerintahan Saddam membolehkan kerajaan Iraq yang dikuasai oleh puak Syiah merapatkan hubungan dengan Iran dan seterusnya membuka jalan bagi pengukuhan pengaruh Iran di Iraq.

AS yang secara terbuka melihat Iran sebagai negara yang mengancam tidak pula menyekat Iraq dalam hal ini. ‘Politik tidur sebantal’ nampaknya setakat ini belum mendapat tentangan AS. Kemungkinan besar AS mempunyai taktik tidak mahu berperang di banyak penjuru.

Kini Saddam sudah dihapuskan buat selama-lamanya, kita tunggu dan lihat apakah Amerika akan terus membiarkan pengaruh Iran terus menular di Iraq melalui kerajaan Perdana Menteri Al Maliki.

Keriangan yang seakan berpesta yang disiarkan secara meluas oleh media Barat seperti CNN dan BBC menimbulkan satu kehairanan terutama di kalangan umat Islam bagaimana sebuah kematian di pagi Hari Raya boleh menimbulkan kegirangan sebegitu rupa!

Mouwafak al-Rubaie, Penasihat Keselamatan Negara Iraq yang menyaksi hukuman gantung Saddam menjelaskan bahawa hukuman tersebut segera dilakukan agar Saddam tidak lagi dapat “menghantui” Iraq.

Walau apa pun, banyak negara Islam yang mempertikaikan kebijaksanaan menggantung bekas pemimpin itu di pagi raya Aidiladha.

Satu kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi mempersoalkan apakah perlunya tergesa-gesa dengan pengadilan dan penghukuman ke atas Saddam.

Jenayah terhadap kemanusiaan merupakan satu jenayah besar dalam undang-undang antarabangsa, tetapi ia juga bersifat subjektif. Justeru memerlukan penelitian yang lebih rapi dan lama. Keadilan dan kesahihan proses penghakiman dan hukuman yang dibuat dalam masa begitu singkat diragui oleh banyak pihak.

Ada yang bertanya kenapa begitu cepat menghakim dan menghukum Saddam sedangkan ada bekas pemimpin dunia yang lain yang terlibat dalam jenayah yang sama tidak dihadapkan ke muka pengadilan?

Seorang rakan menghantar SMS bertanya “apa jadi dengan Radovan Karadzic?” Sebagai imbasan, Karadzic ialah salah seorang pemimpin Serbia yang bertanggungjawab dalam pembersihan etnik dalam perang di Yugoslavia tahun 1990-an.

Sehingga hari ini beliau masih bebas. Bekas Presiden Serbia, Slobodan Milosevic yang juga dikenakan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dibicarakan oleh Mahkmah Jenayah Antarabangsa sejak 2000.

Beliau membunuh diri dalam tahanan pada Mac 2006. Pol Pot, pemimpin Khmer Rouge terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Kemboja semasa pemerintahannya pada 1975- 1978.

Beliau yang tidak pernah dibicarakan oleh mana-mana mahkamah mati dalam buangan pada tahun 1998. Pada 10 Disember 2006, dunia disedarkan dengan kematian seorang lagi diktator iaitu Augusto Pinochet, bekas Presiden Chile yang menggulingkan kerajaan Chile yang sah dengan bantuan AS pada tahun 1973.

Tetapi nasib Pinochet lebih baik daripada Saddam Hussein. Beliau dibenarkan menjalani hari-hari tua sehinggalah meninggal dunia secara aman, walaupun bersalah melakukan kekejaman dan pembunuhan beribu-ribu rakyatnya semasa memerintah Chile.

Sekalipun ia tidak diberi penghormatan negara, kematiannya tidak dijadikan sarkas, malah diberi penghormatan oleh bekas rakan-rakan tenteranya.

Jadi apakah muslihat ‘layanan sarkas’ yang diberikan kepada Saddam sejak penangkapannya sehinggalah saat-saat beliau menghembuskan nafas terakhir di tali gantung pada pagi Aidiladha 2006?

Jika ia bertujuan menghina Saddam dan membalas dendam kepada puak Sunni, maka ia seolah-olah meludah ke muka sendiri.

Bagi ramai pemerhati, keadaan tidak menentu di Iraq sekarang adalah lebih teruk daripada di bawah Saddam. Jika hendak dikatakan yang penghapusan Saddam akan segera menyelesaikan masalah keganasan di Iraq, nyata ia meleset.

Presiden Bush sendiri mengulas bahawa kematian Saddam tidak akan menyelesaikan masalah keganasan di Iraq. Kementerian Luar British, menganggap Saddam telah membayar hutangnya, tetapi mengingatkan bahawa Britain menentang sebarang hukuman mati di mana sahaja di dunia ini.

Kesatuan Eropah pula mengkritik hukuman gantung yang dijalankan ke atas Saddam sebagai barbaric (tidak bertamadun).

Hanya John Howard, Perdana Menteri Australia, memuji tanpa ragu-ragu hukuman tersebut. Iran sebagai rakan kerajaan Iraq, melahirkan rasa puas hati di atas apa yang berlaku.

Dunia Arab (kecuali Kuwait ) nampaknya tidak begitu gembira dengan sikap Iraq terhadap bekas pemimpinnya. Jadi adakah Iraq tersilap hitung?

Atau adakah dalam perkiraan mereka sokongan Amerika dan keinginan memuaskan hati Iran dan golongan Syiah lebih berbaloi daripada menjaga maruah mereka sebagai masyarakat Arab dan Islam yang bebas dan merdeka?

– RUHANAS HARUN ialah Pensyarah dan Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (Utusan Malaysia, 2 Januari 2007)

One Response to “Hukuman tidak bertamadun”

  1. Utefstem said

    mm. attractive..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: