Kelab Diskusi Ilmiah

Salah Pakej Dalam Islam Timbulkan Ketakutan Pada Masyarakat – Mufti Perlis

Posted by admin on January 15, 2007

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Cara agama Islam ditonjolkan atau dipakejkan telah menimbulkan salah faham dan ketakutan di kalangan masyarakat bukan Islam yang melihatnya bukan sahaja sebagai tidak menarik malah sebagai agama yang menghukum.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pakej Islam yang ditonjolkan oleh masyarakat Islam itu sendiri secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa agama Islam lebih banyak menghukum daripada mendidik.

“Islam agama cantik, hebat, tidak ada agama yang boleh menyainginya, tetapi cara kita pakejkannya salah sehingga menyebabkan ia menjadi tidak menarik bahkan menakutkan, menjadi agama yang menghukum, bukannya mendidik,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Bicarawara isu semasa di RTM1, Ahad malam.

Beliau berkata akibat daripada salah pakej itu menyebabkan sukar untuk sesebuah negara menzahirkan sebuah negara berasaskan konsep Islamik.

“Bila bercakap soal kenegaraan dalam Islam, orang bukan Islam membayangkan sebuah negara yang akan mengamalkan potong tangan orang yang mencuri, sebat orang yang berzina, atau di merata tempat ada polis yang akan mengambil tindakan sekiranya mereka melanggar undang-undang,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata berdasarkan ajaran Islam, sebuah negara Islam yang dirahmati adalah negara yang mengamalkan nilai kasih sayang, menjaga maruah, sabar, adil, aman, tolong menolong dan tidak menghukum tanpa sebab.

“Kenapa itu tidak ditonjolkan… yang sekarang tertonjol bila sebut negara Islam sebut tentang negara yang menghukum, negara yang akan ambil tindakan, banyak kempen kepada menghukum, bukan untuk buat orang rasa Islam itu indah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya penonjolan agama Islam perlu diubah dengan memberikan imej baru dan paling penting ialah mengembalikan kekuatan umat Islam itu sendiri agar mempunyai pemikiran yang selari peredaran zaman.

Bagaimanapun, katanya untuk menggerakkan perubahan itu secara serius, memerlukan dorongan politik selain golongan pendokong agama diberi nilai kepimpinan dan mendapat keyakinan rakyat.

Dr Mohd Asri yang ditemubual perantara Datuk Johan Jaafar juga berkata dalam mengubah persepsi negatif masyarakat bukan Islam, umat Islam perlu membuktikan bahawa anasir negatif yang dikaitkan dengan ajaran Islam, terutamanya yang disebarkan media antarabangsa adalah tidak benar.

“Sekarang ini apa yang ditonjolkan oleh media antarabangsa telah menafikan hak-hak kita (Islam), maka semua serangan terhadap Islam disiarkan dalam media, apa saja yang mereka kata, kita akan dituduh,” katanya.

Justeru, katanya umat Islam perlu memastikan suara mereka didengar supaya masyarakat bukan Islam faham dan jelas dengan pakej Islam, manakala kerajaan Islam pula perlu mengukuhkan teras Islam yang sebenarnya bagi mengikis dakwaan tidak betul mengenai Islam yang dibawa oleh barat.

Dalam temubual itu, Dr Mohd Asri turut menyentuh mengenai Islam Hadhari yang disifatkan sebagai satu agenda yang baik jika dilaksanakan oleh golongan yang benar-benar mampu menjadi agen perubahan.

“Jangan pula kita ambil orang yang konservatif sebagai agen perubahan… kita kena lihat dari segi kesarjanaannya, soal kesungguhannya untuk menjadi agen perubahan,” katanya.

Beliau turut menekankan mengenai pentingnya golongan ulama memperluaskan ilmu pengetahuan dan kesarjanaan mereka bagi membolehkan mereka memimpin serta memulihkan imej Islam secara holistik.

— BERNAMA

One Response to “Salah Pakej Dalam Islam Timbulkan Ketakutan Pada Masyarakat – Mufti Perlis”

  1. hamzah said

    kita patut menangisi akibat dari kesalahan kita sendiri sekarang……..mana kita yang dahulunya agung?????

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: