SIAPA YANG ZALIM?
Posted by admin on June 1, 2006
Muqaddimah:
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi tuhan semesta alam yang berkuasa ke atas semua makhluk-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW serta ahli keluarganya,para sahabat seterusnya kepada pejuang-pejuang Islam, Muslimin dan Muslimat.
Acapkali telinga kita dihalwakan dengan perkataan zalim serta mengatakan seseorang itu zalim akan tetapi apakah pengertian zalim yang sebenarnya dan kepada siapa yang berhak disebut sebagai zalim.Firman Allah Taala dalam surah Hud ayat 113 :
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (kalau kamu berlaku demikian yakni cenderung) api neraka akan membakar kamu sedangkan kamu tidak ada sebarang pertolongan pun selain dari Allah. Kemudian dengan sebab cenderung itu kamu tidak akan mendapat pertolongan”
Sahabat-sahabat seperjuangan sekelian, berdasarkan ayat tersebut cenderung kepada orang yang zalim adalah sesuatu perkara yang dilarang, apatah lagi jika menyokong atau membiarkan sahaja keadaan zalim tersebut.
Saya sebagai penulis akan cuba menghuraikan sekadar yang termampu dengan kudrat yang diizinkan oleh Allah Taala. Moga kita sama-sama mendapat taufiq dan hidayah dari-Nya.
Pengertian zalim:
Dari segi lughah: Kata asal dari “dho la ma” yang bermaksud gelap.
Dari segi istilah: Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawannya ialah adil.
Pembahagian zalim:
Zalim boleh dibahagikan kepada 3 golongan iaitu:
• Zalim pada diri sendiri
• Zalim kepada orang lain
• Zalim pada diri sendiri serta menzalimi orang lain
1) Siapa Yang Dimaksudkan Orang Yang Zalim Pada Diri Sendiri?
Zalim pada diri sendiri boleh ditakrifkan sebagai orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dari sudut agama sedangkan dia tahu perbuatan itu salah dan berdosa. Contohnya seseorang yang minum arak serta berjudi sedangkan dia tahu ada dalil yang menyatakan bahawa arak dan judi itu mudharat serta haram di sisi agama, setelah itu mereka mendustakan ayat-ayat Allah dengan mengatakan tidak apa-apa minum arak. Firman Allah Taala:
“Maka barangsiapa mengada-adakan dusta kepada Allah sesudah itu, maka merekalah orang-orang yang zalim” (Ali Imran:94)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Allah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak; pemerah, pengilang, perahan, peminum, pembawa, penanggung, pemberi minum dengannya, penjual, pemakan keuntungannya, pembeli untuknya dan pembeli untuk yang lain.” (Riwayat Ibnu Majah, Tarmizi daripada Anas bin Malik)
Sabdanya lagi yang bermaksud:
“Orang yang meminum arak sekiranya mati kelak bertemu Allah seperti penyembah berhala” (Riwayat Ahmad – Hadis Sahih)
Firman Allah Taala dalam surah Hud ayat 113 :
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (kalau kamu berlaku demikian yakni cenderung) api neraka akan membakar kamu sedangkan kamu tidak ada sebarang pertolongan pun selain dari Allah. Kemudian dengan sebab cenderung itu kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
Oleh itu orang yang zalim pada diri sendiri dengan sengaja melakukan maksiat dan sesungguhnya azab yang pedih ke atas mereka.
2) Siapakah Yang Dimaksudkan Pemimpin Yang Zalim?
Pemimpin yang zalim boleh dikategorikan sebagai pemimpin yang zalim pada diri sendiri serta menzalimi orang lain kerana seorang pemimpin yang zalim tidak mungkin hanya menzalimi orang lain tetapi tidak menzalimi diri sendiri.Sebagai contoh kisah Firaun, Namrud dan sebagainya. Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
Sekarang timbul persoalan kepada kita adakah harus kita berdiam diri ke atas pemimpin yang zalim ini atau pun pemimpin itu harus disingkirkan kerana As-syahid Imam Hassan Al-Banna telah menyatakan dalam kitabnya yang berjudul “Risalah At-Ta’lim” :
“Apabila ia (pimpinan) abai, maka hendaklah dinasihatinya dan ditunjukinya, seterusnya digulingkan dan disingkirkan, tidak ada ketaatan bagi makhluk dalam penderhakaan kepada Allah”
Sabda Rasullullah s.a.w :
” Tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada al-Khaliq”
Hukum untuk menyingkirkan pemimpin yang zalim adalah wajib kerana jika dibiarkan akan lebih memudharatkan lagi orang-orang di bawah pimpinannya serta akan makin banyaklah berlaku perkara-perkara maksiat di jalan Allah. Telah bersepakat para ulama’ dan fuqaha’ menyatakan “al amru bil ma’ruf wa nahyu an mungkar” adalah wajib dan fardu ain kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Ganjaran kepada orang yang berjuang untuk menyatakan kebenaran serta menegakkan kalimah tauhid di hadapan pemimpin yang zalim adalah tinggi seumpama pahala syahid malah diiktiraf sebagai penghulu syuhada’. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Penghulu kepada para syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seorang lelaki yang bangun (menghadapi) imam (pemimpin) yang zalim, lantas beliau mencegah imam berkenaan, lalu imam tersebut membunuhnya.” (Riwayat Al Hakim)
Penutup:
Semoga apa yang disampaikan ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama, apa yang baik itu datangnya dari Allah Taala dan apa yang kurang itu dari kelemahan diri saya sendiri. Wallahu ‘alam.
Disediakan oleh:
Ust Muhamad Farhan Bin Ismail
Jabatan Feqh Wa Usul
Universiti Mu’tah, Jordan.
(Bekas Yang Di Pertua Kesatuan Mahasiswa Kelantan
Jordan)
Leave a comment